ORANG minat politik pasti kenal Datuk Seri Mustapa Mohamed, apatah lagi rakyat Jeli dan Kelantan. Siang malam bekerja. Bermula dari pukul 5 pagi sehingga lewat malam. Jika di Jeli, solat lima waktunya di masjid yang berbeza. Perkara biasa kalau lebih 20 buah rumah dinaiki sehari. Dari daerah jin bertendang sekarang sudah terang benderang.

Kerja buat di Kelantan begitu juga. Habis semua tempat diredah. Tidak pelik rakyat negeri ini melihat menteri naik kereta sewa ke sana sini. Ketika Bah Kuning 2014, beliau sendiri merasai detik cemas terperangkap di Kuala Krai dan terpaksa bermalam bersama anggota penyelamat. Ini kerana kedegilannya untuk tetap melihat sendiri nasib rakyat biarpun dinasihatkan supaya tidak ke sana.
Dengan kebijaksanaan, beliau menterjemahkan malapetaka itu sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan Pusat dan negeri. Beliau tolak ke tepi beza fahaman politik demi rakyat. Dibangunkan semula negeri ini yang ranap dibadai bencana.
Soal pembangunan jangan cerita, yang disekat dahulu dibuka habis. Dari Putrajaya segala macam diangkut ke Kelantan. Cumanya beliau gagal untuk menghadiahkan Kelantan kepada Barisan Nasional (BN).
Khidmatnya untuk negara tidak boleh dipersoalkan. Hampir 20 tahun berada dalam Kabinet. Enam kementerian diterajui. Malah dikatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang paling berjaya dalam sejarah. Kerjanya amat teliti dan berhati-hati. Disemak berulang kali, sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Namun kelmarin, beliau meninggalkan parti. Mengejutkan tetapi tidak pelik kerana tiada satu benda di dunia ini yang kekal. Keluar masuk pemimpin perkara biasa. Tidak ada satu parti yang ranap atau roboh disebabkan pemimpin keluar. Justeru, ramai yang meneka apa sebab beliau keluar. Pelbagai teori dikeluarkan walaupun kenyataan sudah disiarkan.
Namun jelas, ketiadaan beliau adalah satu panggilan untuk UMNO bangun daripada tidur. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tiada langkah yang benar-benar kelihatan dapat mengurangkan defisit kepercayaan rakyat terhadap parti itu.
Biarpun kerajaan Pakatan Harapan ‘huru hara’ namun UMNO tidak dapat mengambil kesempatan tersebut. Hala tuju UMNO tidak jelas. Yang hanya kedengaran adalah soal untuk menjadi kerajaan melalui ‘pintu belakang’.
Dalam masa sama, harus diingat masyarakat hari ini dan masalah diri dan menjadikan isi perutnya sebagai keutamaan. Perut yang lapar membuatkan mereka hilang kewarasan untuk berfikir sehingga meletakkan soal agama serta bangsa di tangga kedua.
Jadi, apakah kerjasama UMNO-Pas akan membuahkan hasil? Untuk Melayu dan Islam jawapannya, ya. Bagaimanapun pula dengan bukan Melayu. Malah majoriti rakyat Pantai Barat melihat Pas dari sudut yang amat berbeza berbanding penduduk di hulu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam masa sama, Pas kelihatan acuh tidak acuh. Dan seolah-olah mereka yang mahu menguasai UMNO. Jika itu yang berlaku, di mana pendirian UMNO yang selama ini kelihatan sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan keputusan yang dibuat oleh Tok Pa agak terlewat. Beliau seharusnya menjadi berani lebih awal lagi yakni ketika UMNO belum kalah. Keberanian hari ini hanya merencatkan rasa hormat ahli serta penyokong UMNO terhadapnya. Mereka bertanya, kenapa tidak menjadi seperti Khairy Jamaluddin, menegur dan terus menegur tanpa keluar parti.
Jujurnya, keputusan Tok Pa akan menjejaskan UMNO kerana beliau kelihatan di antara pemimpin yang paling bersih dalam parti itu. Namun, UMNO tidak perlu meratapinya. Bangkit semula. Biarkan Tok Pa menikmati kebebasan demokrasi dan masanya sendiri. -UTUSAN ONLINE











