Bekas pengasas rumah kebajikan dipenjara `intai pelajar’, miliki bahan lucah - Utusan Malaysia

Bekas pengasas rumah kebajikan dipenjara `intai pelajar’, miliki bahan lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Seorang bekas pengasas dua buah rumah pertubuhan kebajikan dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang kanak-kanak perempuan yang menghuni rumah itu dan memiliki filem berunsur lucah.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu selepas Zahari Alwi, 56, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Haslinda dalam keputusannya memerintahkan Zahari dihukum penjara 15 bulan bagi tuduhan mengaibkan kehormatan kanak-kanak itu dan bagi tuduhan memiliki bahan berunsur lucah, tertuduh dihukum penjara 13 bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap tertuduh pada 16 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Zahari didakwa telah mengaibkan kehormatan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tiga bulan ketika kejadian, dengan cara membuka pintu bilik air semasa mangsa berada di dalamnya di sebuah rumah di Jalan Enggang Selatan 11, Taman Keramat dekat sini pada pukul 1 petang, Disember 2015.

Tertuduh didakwa berbuat demikian dengan maksud ingin mengganggu kesantunan kanak-kanak perempuan tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang dipanggil ‘ustaz’ oleh mangsa didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, Zahari didakwa memiliki sebuah filem lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam di dalam komputer riba di alamat yang sama pada pukul 7 petang, Januari lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Mohd. Shukri Ahmad Mansor yang mewakili Zahari memohon hukuman penjara berjalan serentak bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan anak guamnya perlu menyara dua isteri.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak pula memohon hukuman berat mengambil kira keseriusan kes ini yang melibatkan mangsa berusia 10 tahun malah kanak-kanak perempuan itu masih trauma dan malu dengan kejadian yang menimpa dirinya.

“Tertuduh telah dengan sengaja mengambil peluang untuk melakukan kesalahan ini. Perbuatan tertuduh itu telah mencemar nama baik pertubuhan kebajikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini