Barcelona tewas mengejut di tangan Leganes - Utusan Malaysia

Barcelona tewas mengejut di tangan Leganes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGANES 27 Sept. – Ernesto Valverde mempertahankan keputusannya merehatkan pemain tonggak selepas Barcelona ditimpa kekalahan mengejut 1-2 kepada Leganes, hari ini, tetapi mengakui skuad bimbingannya terjebak ke dalam detik yang amat menyukarkan.

Gerard Pique melakukan kesilapan besar, selepas gagal menyepak bola keluar dengan kemas sehingga membuka laluan kepada Oscar Rodriguez meledakkan gol kedua buat Leganes pada minit ke-53 yang merupakan jaringan kemenangan di Estadio Municipal de Butarque.

Nabil El Zhar menanduk masuk gol penyamaan hanya 68 saat sebelum jaringan kedua disempurnakan, setelah Philippe Coutinho terlebih dahulu meletakkan Barcelona di depan seawal minit ke-12.

Selepas diikat dengan keputusan seri oleh Girona, Isnin lalu, pilihan pemain yang dilakukan Valverde menerima kritikan hebat, selepas dia membuat keputusan melakukan penggiliran buat kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Sewaktu menentang Girona, jurulatih itu telah meletakkan Coutinho, Ivan Rakitic dan Samuel Umtiti dibangku simpanan dan kesemua mereka hanya di bawa masuk sewaktu babak kedua permainan di Camp Nou, manakala Luis Suarez serta Jordi Alba dijadikan sebagai pemain gantian di sini.

“Sudah tentu jurulatih yang akan bertanggungjawab. Memang mudah untuk bercakap tentang penggiliran pemain kerana pada pengakhirannya perlawanan akan dinilai berdasarkan keputusan, tetapi anda tidak boleh melakar kemenangan liga dengan hanya 11 pemain,” kata Valverde. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN