Ban Tebuk Mendeling terhakis kira-kira 20 meter - Utusan Malaysia

Ban Tebuk Mendeling terhakis kira-kira 20 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Ban laut di Tebuk Mendeling, di sini mengalami hakisan semasa air laut pasang berikutan fenomena air pasang besar pada petang tadi.

Tinjauan beberapa penduduk ke lokasi kejadian pada pukul 5 petang mendapati ban itu terhakis sepanjang kira-kira 20 meter dan ketika itu air laut sedang pasang.

Tebuk Mendeling merupakan salah satu daripada 17 kawasan berisiko fenomena air pasang besar di daerah ini.

Seorang penduduk, Mohd. Asyraf Mohamed Noh, 33, yang ditemui di lokasi kejadian melahirkan kebimbangan terhadap keadaan ban tersebut.

Katanya, berdasarkan keadaan ban yang terhakis itu, dibimbangi ia akan runtuh sepenuhnya semasa air pasang pada pagi esok kerana dijangka paras air pasang pada sebelah pagi lebih tinggi daripada paras air pasang pada petang tadi.

“Jika dilihat daripada jadual air pasang surut di Jeti Bagan Datok, pagi esok paras air pasang setinggi 3.2 meter berbanding paras air pasang pada petang tadi iaitu hanya 3.0 meter,” katanya.

Katanya, jika ban tersebut pecah, air laut akan melimpah masuk ke kawasan kampung dan risiko banjir akan meningkat jika berlaku cuaca buruk seperti hujan dan ribut yang menyebabkan ombak laut lebih besar.

Sebelum ini, ban di Tebuk Mendeling pernah runtuh sepanjang 80 meter, juga semasa fenomena air pasang besar pada November 2017.

Bagaimanapun, ban itu telah dibaiki sebelum didapati terhakis semula dalam kejadian petang tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN