KUALA LUMPUR 20 Sept. – Beraksi dalam hujan dan padang licin tidak menghalang skuad bola sepak Bawah 16 tahun negara (B-16) berpesta gol ketika menewaskan Tajikistan 6-2 dalam kempen Kumpulan A Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B_16 yang turut menyaksikan Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan skuad bimbingan Lim Teong Kim selesa beraksi biarpun kehilangan seorang pemain selepas penjaga gol utama, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah pada minit ke-90.
Kata Teong Kim, dia bangga dengan kecemerlangan yang dipamerkan oleh pemainnya.
“Kehilangan penjaga gol tidak menjejaskan pasukan kerana kami mempunyai pemain gantian yang berkebolehan,” kata Teong Kim.
Dalam perlawanan tersebut, penyerang Luqman Hakim Shamsudin menghadiahkan empat gol buat skuad negara pada minit ke-30, 42, 46 dan 47.
Dua lagi jaringan pasukan B-16 negara diperoleh menerusi Muhammad Najmuddin Akmal pada minit ke-33 dan Aliff Mutalib pada minit ke-76 manakala gol Tajikistan diperoleh hasil jaringan Sharifbek Rahmatov minit ke-72 dan Isroil Kholov ketika masa kecederaan.











