KUALA LUMPUR 26 Sept. – Axiata Group Bhd. sedang mengkaji semula kedudukannya berhubung potensi kemungkinan transaksi bagi pegangan sahamnya dalam syarikat telekomunikasi Singapura, M1 Ltd.
Menurut Axiata, pengumuman lanjut mengenai transaksi akan dibuat oleh Keppel Corporation Ltd. (KCL) dan Singapore Press Holdings Ltd. (SPH).
Katanya, Axiata sedang berbincang dengan institusi kewangan untuk bertindak sebagai penasihat bagi mengkaji pelbagai pilihan yang ada buat kumpulan.
Jelasnya lagi, pilihan tersebut perlu seiring dengan matlamat utama Axiata untuk terus melindungi dan meningkatkan nilai pemegang saham Axiata dan M1.
“Institusi kewangan juga akan memberi panduan kepada syarikat setelah KCL dan SPH rasmi mengumumkan cadangan nilai transaksi.
“Kami percaya sebarang tawaran daripada mana-mana pihak bukan sahaja mencerminkan dan mempertimbangkan nilai masa depan bagi M1 tetapi ia juga menggabungkan premium kawalan boleh diterima berdasarkan norma pasaran dan transaksi terdahulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Axiata memiliki pegangan sebanyak 28.7 peratus di dalam M1 yang merupakan operator tanpa wayar yang paling kecil di Singapura.
Nilai pasaran M1 telah menurun sebanyak 59 peratus kepada S$1.51 bilion (RM4.58 bilion) sejak 2015 sementara perolehan dijangka jatuh kira-kira 1.5 peratus pada tahun ini, berdasarkan anggaran penganalisis.
Tawaran untuk M1 dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
KCL dilaporkan telah menghubungi SPH untuk mengambil bahagian dalam urus niaga yang berpotensi mengenai saham M1.











