APR peneraju pendidikan pengundi - Utusan Malaysia

APR peneraju pendidikan pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akademi Pilihan Raya (APR) merupakan salah satu stru­ktur di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berfungsi dan berpe­ra­nan meningkatkan asas pe­ngetahuan masyarakat me­­nge­nai sistem dan proses pilihan raya serta amalan demokrasi di Malaysia menerusi pelaksa­naan program-program latihan dan pen­didikan pengundi.

APR yang diwujud­kan pada 2007 bermatlamat me­ningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai dan staf SPR serta petugas-petugas pilihan raya dan parti-parti politik. Ia juga bermatlamat mening­katkan kesedaran me­ngenai pentingnya pe­nglibatan dalam pi­lihan raya dalam kala­ngan masyarakat, khasnya pemilih berdaftar.

Namun, sasarannya kini di­perluaskan kepada golongan pelajar sekolah, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pihak media, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjawat awam, pegawai-pegawai daripada jabatan/agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Luar Negeri. Objektif-objektif ini dicapai melalui taklimat, latihan, penerbitan buku panduan, checklist, cakera padat dan latih amal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain memberi latihan dan pendidikan pengundi, APR juga berperanan dalam menangkis persepsi negatif terhadap SPR dan sistem pilihan raya negara melalui sesi penerangan dan penjelasan secara terus (first hand) kepada golongan sasaran agar mereka mendapat kefahaman khususnya dalam kalangan golongan muda.

Mulai tahun 2017, program-program pendidikan pe­ngundi dirangka bagi mendekati golo­ngan sasar agar maklumat tepat dapat disampaikan sambil memberi peluang un­tuk mereka melihat sendiri pro­ses se­be­nar pengundian dan pengiraan undi melalui simulasi yang dijalankan. Program yang dilaksanakan ha­­sil ker­jasama strategik dan soko­ngan padu daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Jabatan Pengajian Tinggi ini telah berjaya mendi­dik hampir 30,000 peserta terdiri daripada pelajar universiti, Institut Pendidikan Guru, Institut Latihan Kesihatan, politeknik, kolej komuniti dan beberapa Institut Pengajian Tinggi Swasta yang mengambil bahagian.

Berdasarkan kepada impak positif dan sambutan yang memberangsangkan, maka pa­da tahun ini Program Pendidikan Pengundi diteruskan dan diperluas dengan jalinan kerjasama strategik bersama pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara).

SPR juga mengambil pendekatan baharu dalam memperluas capaian golongan sasar ke peringkat lebih dalam. SPR percaya masyarakat yang celik demokrasi dapat dilahirkan dengan pen­dedahan terhadap kepentingan mengun­di pada peringkat lebih awal. Pendedahan awal juga membolehkan bakal-bakal pengundi bersedia se­kiranya kelayakan untuk mendaftar sebagai pemilih yang kini ditetapkan pada umur 21 tahun diturunkan kepada umur 18 tahun pada masa akan datang.

Kerjasama strategik di antara SPR dan Universiti-Universiti Awam (UA) melalui projek pe­rintis iaitu menerusi pelaksa­naan Program APR Associate Trainer(AAT) dilancarkan bagi melantik ‘Duta Kecil’ sebagai wakil SPR untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan benar mengenai sistem dan proses pilihan raya negara kepada masyarakat.

Sehingga kini, seramai 600 mahasiswa daripada beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara telah dipilih menyertai program ini. Mahasiswa-mahasiswa yang terpilih perlu menjalani sesi latihan intensif di mana mereka akan diberi pendedahan secara terperinci mengenai pengendalian pilihan raya di Malaysia sete­rusnya ditauliahkan sebagai kelayakan untuk mereka memberi taklimat kepada pelajar-pelajar sekolah.

Pada peringkat permulaan, taklimat AAT akan menjelajah ke seluruh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), diikuti sekolah menengah dan rendah harian. Selain memberi taklimat kepada pelajar sekolah, sukarelawan AAT yang dilantik juga akan dilibatkan dalam tugasan SPR yang bersesuaian seperti program outreach pendaftaran pemilih atau sebagai petugas semasa proses pilihan raya.

SPR berharap khidmat sukarela yang diberi oleh AAT akan memberi manfaat bukan hanya kepada SPR dan masyarakat, tetapi juga kepada individu berkenaan melalui pengalaman dan peningkatan kendiri yang diperoleh melalui program ini.

Pemerkasaan fungsi dan peranan APR akan terus diperkasakan bagi meningkatkan aspek pendidikan dalam kalangan pengundi di negara ini.

Masih banyak usaha perlu dilakukan agar masyarakat Malaysia meraikan amalan demokrasi dengan cara yang sihat.

Hasrat ini pastinya sukar dicapai tanpa sokongan dan penglibatan semua peringkat rakyat Malaysia sendiri dalam memastikan demokrasi terus subur di bumi yang tercinta ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini