KUALA TERENGGANU – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak pernah sesekali memandang rendah terhadap pihak lawan yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan pada 13 Oktober ini.
Anwar berjanji akan memperuntukkan lebih banyak masa serta bekerja dengan lebih keras demi khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Dalam kita berperang politik, jangan sesekali pandang rendah terhadap lawan kita dan diri saya sendiri juga tidak pernah memandang rendah kepada sesiapa pun.
“Oleh sebab itu, saya harus peruntukkan lebih banyak masa untuk bertemu dengan penduduk di kawasan tersebut dan menyeru pengundi supaya berikan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama ahli-ahli PKR negeri di Terengganu Equestrian Resorts, Kuala Ibai di sini hari ini.
Setakat ini, selain Anwar, dua parti iaitu Pas dan Parti Rakyat Malaysia; calon bebas, Stevie Chan Keng Leong dan bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Kumar menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, ketika disoal mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon di kerusi Port Dickson berkait dakwaan hubungan baik antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan beliau, Anwar menyifatkan ia sebagai teori konspirasi.
“Ia hanya satu teori konspirasi yang sengaja diada-adakan. Tidak ada sebarang perbincangan dengan pihak UMNO dan sudah pasti mereka telah buat penilaian tersendiri terhadap keputusan yang diambil,” katanya.
Semalam Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mempersoal tindakan BN yang tidak meletakkan calon di Port Dickson dan mendakwa Ahmad Zahid seakan-akan memberi laluan mudah kepada Anwar untuk memenangi kerusi parlimen berkenaan.
Dakwa Ibrahim, sewaktu Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO, Ahmad Zahid berada dalam Pergerakan Pemuda dan hubungan mereka sangat rapat. – K! ONLINE











