Annuar luah isi hati - Utusan Malaysia

Annuar luah isi hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini menukilkan coretan hatinya terhadap semua rakan seperjuangannya dalam UMNO termasuk mereka yang telah pun bertindak meninggalkan parti selepas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau berkata, setiap daripada pejuang-pejuang parti perlu sedar bahawa mereka sebenarnya hanya orang biasa tanpa pangkat, kuasa dan gela­ran tetapi bernasib baik apabila disokong oleh rakyat yang melihat sebagai idola dan orang yang dipercayai.

Kata beliau, mereka itu me­nunggangi kekuatan parti untuk naik ke atas dan terus ‘hidup’ dalam berpangkat di saat kawan-kawan lain jatuh tersungkur.

“Tetapi kita dilonggokkan dengan pelbagai pangkat dan kedudukan. Betapa besar jasa parti terhadap kita.

“Kini buat pertama kali, parti kita hilang segalanya. Inilah saat parti amat memerlukan kita. Kalau dulu kita memerlukan parti, parti menyelamatkan kita. Tetapi bila parti memerlukan kita, wajarkah kita lari menyelamatkan diri kita?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Annuar berkata, lebih menyedihkan, mereka yang lari meninggalkan parti itu ada yang menghina parti sendiri yang baru sahaja rebah tanpa cuba menolong, malah memijak dan meludah parti.

“Alangkah malunya kita yang ditatang bak permata sebelum ini, tiba-tiba cair sebagai plastik yang baru sedikit dibakar api.

“Wajarkah kita terus kema­ruk dengan kuasa, pangkat dan kedudukan lalu meninggalkan pengikut yang mengundi parti untuk kita,” soalnya.

Annuar mengakuinya, seba­gai pemimpin yang dahulu mendapat kemewahan sewaktu berkuasa sememangnya menjadi sasaran, tekanan dan ugutan tetapi itulah ujian sebenarnya.

“Sebenarnya menderhaka itu mudah sekali, meninggalkan medan juang juga senang sekali, apa lagi kalau hanya istilah pangkat yang ada dalam kamus kehidupan kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap supaya diberi kekuatan kepada pejuang yang masih jujur dalam perjuangan keramat tersebut.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka yang jujur berjuang dalam senang dan susah serta dalam menang dan kalah,” tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN