SEBELUM bergelar pemain bola sepak profesional pelbagai dugaan harus ditempuh begitu juga bagi penyerang Chelsea, Alvaro Morata yang pernah berputus asa dalam sukan itu selain hampir bergelar pemain tenis selepas keluarganya menghukum dia daripada menyertai latihan bersama skuad remaja Real Madrid kerana malas belajar.
Morata telah dilahirkan dengan bakat yang luar biasa sebagai pemain bola sepak malah sejak kecil seawal usia setahun dia lebih berminat dengan hadiah bola sepak berbanding mainan lain.
Sedar dengan kecenderungan terhadap sukan itu menyebabkan kedua ibu bapa Morata iaitu Alfonso Morata dan Susana Morata menghantar anak mereka menyertai Akademi Real Madrid ketika pemain itu berusia tiga tahun.
Membesar bersama Real Madrid bagaikan satu zon selesa buat Morata sehingga menimbulkan kebimbangan kedua ibu bapanya kerana anaknya itu seperti tidak mempedulikan pelajaran.
Sewaktu Morata sedang bersama skuad belia Real Madrid, Alfonso mengambil keputusan untuk tidak menghantar anaknya menyertai latihan sehingga berjaya memperbaiki gred dalam pelajaran dan hukuman tersebut amat menyakitkan buat penyerang skuad kebangsaan Sepanyol itu ketika zaman remajanya.
Sepanjang tempoh hukuman berkenaan Morata hanya menghabiskan masa mengulang kaji bagi memperbaiki gred pelajarannya, dalam masa sama berjinak-jinak dengan tenis.
“Ibu bapa saya menghukum saya daripada menyertai latihan bola sepak membuatkan moral saya jatuh sehingga mula memikirkan sukan lain.
“Selepas sesi pelajaran, saya akan bermain tenis dan mula merasakan keseronokannya.
“Minat terhadap bola sepak juga berkurangan dan memikirkan untuk bergelar pemain tenis profesional,” kata Morata.
Bagaimanapun, sebaik sahaja berjaya memperbaiki gred pelajarannya, dia dibenarkan oleh Alfonso untuk menyertai skuad remaja Real Madrid dan merupakan pemain bola sepak yang berupaya bermain tenis dengan amat baik.
Sehingga kini, Morata masih tetap bermain tenis dengan kadang kala menjemput jaguh dunia sukan itu, Rafael Nadal untuk beraksi bersama.
Alvaro Borja Morata Martin
Tarikh lahir: 23 Oktober 1992
Usia: 25 tahun
Tempat lahir: Madrid, Sepanyol
Tinggi: 1.89 meter
Kelab: Chelsea
Posisi: Penyerang











