Ahli Parlimen Baling ditahan SPRM bantu siasatan kes rasuah  - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Baling ditahan SPRM bantu siasatan kes rasuah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Menurut sumber, turut ditahan ialah abang Abdul Azeez, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat di Sungai Buloh, Selangor.

Tambah sumber itu lagi, Abdul Azeez, 52, ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah.

“Abdul Latif yang juga abang kepada Abdul Azeez pula ditahan 15 minit selepas adiknya ditahan. Kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek,” katanya.

Siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

SPRM pada Mei lalu pernah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berhubung satu projek seliaan TH.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat buah lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia di sini.

Wang tunai yang dirampas dipercayai berjumlah RM500,00 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.

Difahamkan, Abdul Azeez dan abanganya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini untuk mendapatkan perintah reman. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN