Aeon sumbang barangan keperluan kepada 25 keluarga - Utusan Malaysia

Aeon sumbang barangan keperluan kepada 25 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Sebanyak 25 keluarga di Flat Taman Harmoni Indah, Bukit Belimbing di sini terpilih untuk menerima pelbagai barangan keperluan isi rumah hasil keprihatinan Aeon dalam usaha pasar raya itu meringankan beban golongan memerlukan.

Inisiatif dilaksanakan melalui program Aeon Community Food Share dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bukan sahaja berjaya membantu mereka yang memerlukan malah mengurangkan pembaziran makanan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh berkata, usaha interaktif dan bermanfaat dilaksanakan hasil keprihatinan Aeon dengan kerjasama strategik Kenchara Soup Kitchen itu akan menjadi perintis sebelum diperluas ke seluruh negara.

Menurutnya, mulai Januari depan, program berkenaan akan menjelajah ke seluruh Malaysia bersama warga KPDNHEP dengan sasaran memberi bantuan khususnya golongan B40.

“Antara barang keperluan yang disumbang termasuklah makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti dan lain-lain lagi kepada setiap keluarga yang telah pun dikenal pasti lokasi dan pendapatan mereka seisi rumah.

“Usaha ini turut membuktikan bahawa setiap pasar raya sentiasa peka dengan nasib rakyat yang serba memerlukan, manakala KPDNHEP yang mewakili kerajaan akan memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif yang baik dan bermanfaat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Aeon Community Food Share di Aeon Cheras Selatan, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Aeon Co. (M) Berhad, Shinobu Washizawa; wakil sukarelawan Kenchara Soup Kitchen, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengarah Projek Kenchara, Justin Cheah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN