Adik ipar CEO Cradle Fund dan suami bebas reman petang ini - Utusan Malaysia

Adik ipar CEO Cradle Fund dan suami bebas reman petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Adik ipar perempuan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan dan suaminya yang sepatutnya ditahan reman empat hari sehingga esok dibenarkan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Ab. Karim Ab. Rahman mengarahkan pasangan suami isteri dibebaskan daripada tahanan reman petang ini selepas mereka ditahan Isnin lalu.

Perintah itu dikeluarkan Ab. Karim selepas menerima permohonan semakan tahanan reman dikemukakan Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS. Leonard yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ab. Karim ketika membuat keputusan itu berkata, tempoh tahanan reman selama empat hari terhadap kedua-dua individu berkenaan adalah terlalu lama dan pihak polis tidak memberi alasan yang kukuh untuk menahan mereka.

“Untuk menahan reman selama itu perlu alasan yang sangat relevan, kena ada alasan yang kukuh. Sebarang tindakan lanjut seperti dalam alasan yang diberikan pihak polis untuk menahan reman kedua-dua mereka boleh dibuat tanpa kehadiran mereka (pasangan suami isteri itu).

“Justeru, reman pasangan suami isteri yang sepatutnya berakhir esok ditamatkan pada hari ini  selepas pukul 5 petang,” katanya pada prosiding kes berkenaan di sini hari ini.

Sehubungan itu, perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin lalu terhadap perintah tahanan reman selama empat hari kepada pasangan suami isteri itu diketepikan.

Pada prosiding tersebut, plantif diwakili Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS. Leonard manakala Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili responden. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini