MILAN 28 Sept.- AC Milan terus kempunan tiga mata apabila mencatat keputusan seri ketiga berturut-turut selepas diikat 1-1 oleh Empoli dalam saingan Serie A, hari ini.
Dalam aksi di stadium Carlo Castellani, Milan bermula baik apabila rembatan Lucas Biglia pada minit ke-10 berjaya menghasilkan jaringan pertama buat gergasi Itali itu.
Bagaimanapun aksi cemerlang penjaga gol Empoli, Pietro Terracciano selepas itu dengan menafikan beberapa peluang terbaik Milan untuk menambah jaringan membuat jentera serangan buntu.
Terracciano menafikan gol kedua Milan sebelum rehat dengan menyelamatkan percubaan Giacomo Bonaventura dan turut menahan rembatan susulan daripada Franck Kessie.
Tuan rumah, Empoli berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 selepas Francesco Caputo menyempurnakan sepakan penalti.
Keputusan itu menyaksikan Milan menghuni tangga ke-13 liga dengan mengumpul enam mata daripada lima perlawanan. -AFP











