Abadikan 50 tahun dalam akademik - Utusan Malaysia

Abadikan 50 tahun dalam akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 27 Sept. – Pengabdian selama hampir 50 tahun dalam bidang akademik dan penyelidikan mendorong Pengerusi Universiti Asia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim Jamalullail menerima Anugerah Sains Laureate dan Tokoh Akademik Negara dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 2018 pe­ringkat negeri di sini hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan anuge­rah itu kepada Dr. Syed Jalaludin Syed Salim Jamalullail.

Syed Jalaludin ketika ditemui berkata, hanya melalui bidang pendidikan seseorang itu boleh berjaya di dunia dan akhirat.

Beliau yang juga pengasas Akademi Sains Malaysia berkata, sehingga usianya mencecah 74 tahun, beliau masih terlibat dalam akademik.

“Bidang akademik mengalir dalam darah saya dan tidak dapat dipisahkan sehingga akhir hayat. Sehingga kini, saya memegang jawatan Canselor Universiti Taylor selain Pengerusi Universiti Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam majlis itu.

Raja Perempuan Perlis, Tuan­ku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Noraswana Omar.

Menurut Syed Jalaludin, generasi muda tanpa mengira agama dan kaum perlu diberikan bimbingan dan galakan untuk meningkatkan minat mereka dalam bidang akademik.

Dalam pada itu, penerima Jaizah Maal Hijrah 2018, Mejar Jeneral Datuk Pichate Pitisatepan merupakan individu bertanggungjawab dalam menjalin hubungan baik antara penduduk Islam di selatan Thailand dan negeri ini.

Enam wilayah tersebut adalah Satun, Trang, Phuket, Krabi, Phang Nga dan Ranong.

Pichate yang kini merupakan pesara Polis Diraja Thailand berkata, beliau merasa terharu kerana menerima anugerah tersebut yang dianggap bermakna meskipun merupakan rakyat Thailand.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyampaikan anugerah bagi Kategori Didik Maal Hijrah dan Masjid Terbaik.

Kesemua penerima masing-masing membawa pulang sejumlah wang tunai, plak dan sijil penghargaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN