2,000 liter diesel dirampas - Utusan Malaysia

2,000 liter diesel dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 24 Sept. – Pejabat Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawa­ngan Manjung menahan seorang lelaki dan menyita 2,000 liter minyak diesel bersubsidi setelah menyerbu sebuah premis di Manjung, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori dan dua tangki fiber yang digunakan sebagai tempat simpanan bahan bakar tersebut.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM57,600 iaitu RM4,600 untuk minyak diesel, RM1,000 (tangki fiber)dan RM52,000 (lori).

“Serbuan ini dilakukan setelah menerima aduan dan maklumat terdapat aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di premis tersebut.

“Berdasarkan pemerhatian dan risikan selama dua minggu, kita mendapati pemilik premis ini ada menerima bekalan mi­nyak diesel daripada beberapa pembekal di sekitar negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Suhaimi membe­ritahu, minyak diesel itu akan disimpan sementara sebelum dijual kepada pelanggan yang kebanyakannya pihak kilang dan industri di sekitar Manjung dan Teluk Intan.

Ujarnya, siasatan terhadap pemilik premis berusia 44 tahun itu juga mendapati syarikat tersebut pernah diambil tindakan pada tahun 2013 kerana memiliki barang kawalan diesel tanpa lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Syarikat ini juga telah menerima bekalan minyak diesel secara tidak sah daripada beberapa pembekal atau pemborong yang mempunyai lesen di sekitar Perak.

“Selain itu, mereka juga ada menjual minyak diesel dan produk campuran diesel kepada kilang atau industri di Teluk Intan dan Manjung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN