KLANG – Sekumpulan lelaki yang dipercayai mat rempit bukan sahaja berputih mata kerana hilang wang pertaruhaan, malah turut dicekup selepas kegiatan haram itu berjaya dihidu pihak berkuasa pagi tadi.
Kesemua 10 lelaki berkenaan termasuk seorang penganjur lumba haram itu ditahan di sebuah restoran di Jalan Johan Setia di sini kira-kira pukul 2 pagi ketika sedang mengatur perlumbaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kegiatan 10 lelaki berusia 18 hingga 52 tahun itu dikesan ketika pihaknya menjalankan Op Samseng Jalanan sekitar daerah itu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, beberapa anggota dan pegawai operasi kemudiannya membuat pemantauan dan risikan disebuah restoran di Jalan Johan Setia dipercayai menjadi tempat sekumpulan mat rempit berkumpul sebelum melakukan kegiatan lumba haram.
“Semasa anggota melakukan pemantauan di restoran terbabit, seorang lelaki dipercayai penganjur bagi perlumbaan haram tiba di lokasi tersebut .
“Kemudian, kira-kira sembilan orang yang dipercayai bakal menyertai perlumbaan tersebut tiba di kedai berkenaan untuk bertemu dengan lelaki disyaki penganjur itu sebelum menyerahkan wang pertaruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Amar berkata, wang yang diserahkan tersebut dipercayai wang pertaruhan untuk perlumbaan yang dijangka akan diadakan kira-kira pukul 4 pagi di sekitar Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).
“Bagaimanapun, kita berjaya menahan kesemua pelesit rempit bersama penganjur terbabit sebelum mereka mengadakan perlumbaan itu.
“Kita turut merampas sejumlah wang bernilai ribuan ringgit dipercayai wang pertaruhan di dalam dompet poket seluar penganjur perlumbaan berkenaan serta enam buah motosikal,”ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 81 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan. – K! ONLINE











