KOTA BHARU 4 Ogos – Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menempelak bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Tan Sri Zainuddin Maidin sambil menyifatkan beliau seolah-olah lupa diri apabila menghina akhbar yang pernah menjadi ‘payungnya’ satu ketika dahulu.
![]() |
|
SHEIKH AHMAD DASUKI
|
Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamed berkata, Zainuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Biarkan Utusan Mati Sendiri’ di blognya yang dipetik sebuah portal berita jelas menghina seluruh warga akhbar berkenaan.
“Saya hilang kata-kata apabila membaca tulisan Zainuddin itu. Beliau seolah-olah hilang kehormatan diri apabila menghina akhbar yang pernah memberi ruang kepadanya untuk bernafas.
“Tetapi hari ini, Zainuddin sekali lagi mencetuskan rasa kurang senang dengan mengeluarkan kenyataan yang mendoakan supaya suara keramat Melayu itu mati,” katanya di sini hari ini.
Menerusi portal berita itu, Zanuddin berkata, Utusan Malaysia tidak perlu dibunuh kerana ia akan mati dengan sendirinya kerana tidak mengamalkan ketamadunan kewartawanan dan mengharapkan pendapatan bukan daripada jualan akhbar tetapi sumbangan kewangan parti UMNO dan kerajaan.
Sheikh Ahmad Dasuki berkata, Zainuddin sepatutnya berbangga dengan akhbar Utusan Malaysia yang pernah mengangkat namanya sebagai ketua pengarang.
Katanya, beliau menuntut Zainuddin supaya tidak terus celupar dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini. – UTUSAN ONLINE












