KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kementerian Kesihatan digesa supaya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di premis pusat asuhan dan penjagaan kanak-kanak untuk mengelakkan penularan wabak penyakit itu menjadi semakin tidak terkawal.
Ketua Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azlin Muhammad Yasin berkata, antara premis yang wajib untuk mengikuti SOP tersebut adalah yang mempunyai kes wabak itu dan dihuni oleh kanak-kanak di bawah 10 tahun.
“Antaranya rumah persendirian, taman didikan kanak-kanak (tadika), taman asuhan kanak-kanak (taska), prasekolah rumah pengasuh, sekolah rendah, kawasan permainan kanak-kanak berbayar atau percuma dan kawasan salin lampin bayi di premis awam.
“Setiap premis memerlukan SOP yang mudah difahami pekerja, contohnya carta aliran teknikal yang dipaparkan dalam bentuk poster,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan menyatakan sebanyak 40,949 kes HFMD dicatatkan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi 12,193 kes, diikuti Kuala Lumpur (4,676), Sarawak (4,708), Perak (3,160), Sabah (2,424), Johor (2,529), Pulau Pinang (2,917), Kedah (1,471), Kelantan (1,707), Melaka (1,610), Negeri Sembilan (1,667), Pahang (803), Terengganu (632), Wilayah Persekutuan Labuan (384) dan Perlis (250).
Tambah Azlin, Kementerian Kesihatan juga perlu menjalankan siasatan kes secara aktif kepada semua pekerja atau yang individu yang mempunyai kontak dengan premis seperti guru dan keluarga masing-masing.
“Jika ada pelajar atau kanak-kanak yang demam dan nampak lemah serta tidak bermaya, tidak mahu makan, lesu, tidak mahu bermain langsung, sila rujuk ke hospital secepat mungkin untuk mengelakkan komplikasi.
“Semua pengasuh, guru, pekerja di premis perlu peka dan berpengetahuan penuh tentang simptom HFMD. Pengimbasan sebelum masuk ke kelas adalah sebaiknya,” katanya.
Menurut Azlin, salah satu penyebab penularan wabak itu semakin membimbangkan kini adalah ibu bapa dan penghuni premis yang kurang peka.
“Memandangkan ibu bapa sekarang sangat sibuk dan terhad dalam memantau kesihatan anak masing-masing, tugas itu sekarang lebih banyak terletak kepada penjaga, pengasuh, guru di premis-premis ini,” katanya.










