TUAH berganda buat bintang skuasy negara, Low Wee Wern yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) semalam selepas tidak sampai sebulan kembali ke gelanggang kompetitif.
Pemilihan tersebut berdasarkan kejayaannya meraih dua gelaran berturut-turut bulan lalu iaitu kejohanan Terbuka Malaysia 2018 dan Terbuka Tasmania 2018, sekali gus melonjakkan rankingnya daripada 184 ke-70 dunia.
Lebih menakjubkan, anak jati Pulau Pinang itu turut berjaya mara ke suku akhir kejohanan Terbuka Australia semalam setelah menewaskan pemain New Zealand, Abbie Palmer.
Mengakui semangatnya sebagai bekas pemain No. 5 dunia kian dirasai, Wee Wern enggan terlalu teruja dan terburu-buru dalam mengejar kembali kedudukannya sebagai bintang skuasy dunia.
“Dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan PSA ketika saya melangkah ke suku akhir Terbuka Australia sememangnya suatu penghargaan. Saya tidak sabar untuk menentang Ho Tze Lok dari Hong Kong esok.
“Keyakinan saya di gelanggang semakin memuncak dan perlahan-lahan saya sudah dapat kembali rentak permainan. Saya akan terus tingkatkan corak permainan pada setiap permainan.
“Dua gelaran berturut-turut sememangnya memberikan saya keyakinan untuk menyasarkan kejuaraan dan bermain lebih agresif. Bagaimanapun, saya merupakan pemain bukan pilihan bagi kejohanan ini.
“Terdapat ramai pemain yang memiliki ranking lebih tinggi daripada saya. Saya akan cuba untuk lakukan yang terbaik agar dapat mencipta kejutan sekali lagi,” jelasnya.










