ALAHAI! Macam-macalah insiden yang agak kurang menyenangkan dalam sebulan dua ini.
![]() |
|
GOBIND SINGH DEO
|
Ini termasuklah yang terbaharu insiden kelmarin melibatkan pemberhentian langganan akhbar Utusan Malaysia di seluruh bahagian yang berkepentingan Kementerian Pendidikan.
Dalam dasar yang menjamin keterbukaan di era Malaysia Baharu ini terutama kebebasan akhbar, hal-hal yang remeh-temeh sebegini pun masih berlaku.
Hendak dirungkai lebih jauh akan arahan pejabat menteri terbabit pun tidak akan ke mana. Hanya akan mencetuskan suasana tidak harmoni. Cuma boleh membaca komen-komen menerusi media sosial sahajalah dengan rata-rata memberi sokongan kepada keterbukaan media.
Antaranya yang sempat dipetik: “Murid ada online ke – 100% Malaysia dah cover internet ke.
Ini lawak…budak sekolah luar bandar mana ada online? Apa! Ingatlah 240,000 pelajar…dengan 140,000 adalah (berada di) luar bandar tiada internet.”
Siapa yang keluar gag order atau larangan menghentikan langganan Utusan Malaysia ini? Entahlah.
Dalam senario politik semasa hari ini, waima sejak dahulu kala lagi, istilah Little Napoleon atau Napoleon Kecil tidak boleh diperkecilkan keberadaannya? Istilah ini merujuk kepada penjawat awam yang berada di sesuatu kedudukan (bukannya peringkat tertinggi) tetapi berlagak seolah dia begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi.
Kadangkala lagak itu didukung oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya, lantaran kuatnya hubungan si Little Napoleon tadi dengan mereka yang berkuasa di peringkat tertinggi. Ia diberi gelaran Little Napoleon kerana sifat mereka ini seperti Napoleon Bonaparte. Istilah ini pernah dipopularkan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon dalam kalangan penjawat awam.
Abdullah menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah ‘sebab nila setitik rosak susu sebelangga’.
Di sebalik pemberhentian langganan Utusan Malaysia sama ada sekarang atau sebelum ini, yang kalau ditinjau dari komen-komen netizen, ada mengaitkan tempiasnya dengan sentimen ‘kedudukan’ kaum majoriti, yang realitinya hari ini orang Melayu nampaknya tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada konsep ketuanan.
Konsep ini lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.
Laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.
Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum mampu menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.
Nasib orang Melayu ada di tangan orang Melayu. Kita tidak jadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha untuk menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tidak perlu bergantung kepada sesiapa.
Barangkali ‘Little Napoleon’ boleh mengajar sebilangan orang Melayu tentang rasa bersyukur.
‘Napoleon Kecil’ ini wujud di mana-mana, hatta dalam kerajaan terdahulupun pada suatu ketika, yang kerjanya membodek pemimpin, cium tangan pemimpin di tengah jalan. Mereka cuba mempengaruhi pemimpin dan apabila masuk mesyuarat-mesyuarat besar, melaga-lagakan orang.
Serta-merta teringat penulis pada jaminan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika menegaskan kebebasan media adalah aspek utama pembaharuan yang akan dilakukan oleh kementeriannya.
Media negara ini, tegas Gobind, perlu diberi lebih kebebasan untuk membuat liputan termasuk mengkritik kerajaan.
“Media merupakan suara kepada rakyat dan kerajaan perlu bersedia menerima kritikan untuk kita boleh lakukan pembaharuan.
“Apa yang perlu ditumpukan adalah rakyat diberi ruang melontarkan pandangan termasuk pihak sebelah sana (pembangkang) juga perlu diberi ruang supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri,” kata Gobind lagi.
Terima kasih YB Gobind!











