TAMPA 1 Ogos – Golongan wanita yang gemar menanduk bola adalah lima kali ganda berisiko mengalami kerosakan otak berbanding lelaki, menurut kajian Kolej Perubatan Albert Einstein, Amerika Syarikat (AS).
Hasil kajian yang disiarkan jurnal Radiology mencadangkan garis panduan khusus jantina diperlukan untuk mengawasi kecederaan kepala dalam permainan bola sepak.
Menurut Ketua Penyelidik Radiologi, Psikiatri dan Sains Tingkah Laku, Profesor Michael Lipton, para penyelidik dan klinisian telah lama menyedari bahawa golongan wanita mempunyai risiko mengalami kecederaan kepala lebih teruk berbanding lelaki.
Berita berkaitan:
Namun menurut beliau, ada pihak menyifatkan situasi itu berlaku kerana golongan wanita segera membuat laporan jika berlaku simptom berkenaan.
“Berdasarkan kajian kami melibatkan 100 pemain bola sepak amatur dengan mengukur perubahan objektif tisu otak berbanding laporan simptom, golongan wanita berisiko mengalami trauma otak akibat menanduk bola berbanding golongan lelaki,” katanya.
Melalui kajian itu seramai 49 pemain bola sepak lelaki dan wanita menjalani ujian Pengimejan Penegang Resapan (DTI) seperti ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang menganalisis kesihatan jirim putih otak dengan melihat keseimbangan air dalam tisu.
Kesemua pemain berusia 18 tahun hingga 50 tahun itu mempunyai rekod sama dalam jumlah menanduk bola pada tahun sebelumnya dengan golongan lelaki melakukan tandukan bola sebanyak 487 kali manakala golongan wanita sebanyak 469 kali.
Hasil imbasan menunjukkan ‘jumlah jirim putih yang rosak dalam kalangan pemain wanita adalah lima kali ganda lebih teruk berbanding lelaki,” menurut laporan berkenaan. – AFP











