Wanita 51 tahun dibakar - Utusan Malaysia

Wanita 51 tahun dibakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Hanya kerana berlaku per­se­lisihan faham, seorang lelaki sanggup mencurahkan petrol kepada seorang wani­ta berusia 51 tahun dan membakarnya hingga maut.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam semalam, sebuah bengkel motosikal di Jalan Sentul, di sini telah dibakar hingga menyebabkan tiga cedera termasuk suspek yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang cedera telah ditahan di lokasi kejadian dan kini sedang di rawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama dua lagi mang­sa berusia 29 dan 46 tahun yang juga merupakan pekerja di kedai berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang juga seorang pembekal aksesori motosikal pada mulanya telah berjumpa dengan wanita yang maut di dalam bengkel berkenaan.

“Kemudian, berlaku perselisihan faham yang menyebabkan suspek keluar dari bengkel sebelum datang semula dan mencurah petrol ke arah wanita itu dan bengkel berkenaan sebelum bertindak membakarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Pegawai Turus Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Superintenden Noor Azmi Yusoff dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang bertukar ke jabatan tersebut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, pihak­nya menerima panggilan pada pukul 8.42 malam dan sebaik pasukan bomba tiba ke lokasi mendapati api masih marak di bangunan tersebut.

“Seramai 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwang­sa, Hang Tuah dan Sentul, di sini dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran rumah kedai tiga tingkat itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN