[VIDEO] Tiga kematian ADUN ujian besar bagi PH - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tiga kematian ADUN ujian besar bagi PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 3 Ogos – Tiga kematian berturut-turut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dalam tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan satu ujian besar buat Pakatan Harapan.


Video oleh HAKIMI ISMAIL

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya kini terpaksa menempuh tiga pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan berkenaan.

“Sekarang kita perlu buat persiapan untuk satu lagi PRK ekoran kematian ADUN Seri Setia, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Baharuddin.

“Kita merasa sedih atas kehilangan beliau selaku Exco Kerajaan Selangor, kita mendoakan agar roh beliau diberikan rahmat dan keredaan Allah,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Shaharuddin di Masjid Jamiurrahman Kampung Limau Manis, Sungai Merab di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden PKR itu meluangkan masa kira-kira 20 minit mengaminkan doa dan menemui keluarga Allahyarham selepas solat jenazah yang disertai lebih 500 jemaah.

Jenazah Shaharuddin kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Raudahatul Jannah Khairiah Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis pada pukul 9.45 pagi.

Antara yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md. Akin; Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Shaharuddin, 56, yang dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada PRU-14 menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.28 petang semalam di Hospital Putrajaya.

Shaharuddin pernah bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) me­rupakan aktivis gerakan Islam serta pernah ditahan di bawah Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika era reformasi.

Dua lagi ADUN Selangor yang meninggal dunia selepas PRU-14 ialah Mat Shuhaimi Shafiei (Su­ngai Kandis) dan Ng Tien Chee (Balakong).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN