[VIDEO] Tentera Israel tidak pernah hormat undang-undang di perairan antarabangsa - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tentera Israel tidak pernah hormat undang-undang di perairan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sikap tidak menghormati undang-undang antarabangsa yang menjadi amalan tentera Israel terbukti apabila tentera zionis itu bertindak mencerobohi laluan air, Laut Mediterranean pada kedudukan 12 batu nautika lalu merampas kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kotak ubat-ubatan ke Gaza bersama 22 aktivis termasuk wakil tunggal negara, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh baru-baru ini.

PROF. MADYA DR. MOHD. AFANDI SALLEH
PROF. MADYA DR. MOHD. AFANDI SALLEH

Walaupun tentera Israel merasakan satu kemenangan di pihak mereka kerana berjaya menahan kapal Al-Awda, kapal yang berdaftar dan membawa bendera Norway namun sebenarnya, pada sudut pandangan lain, perbuatan mereka itu sebenarnya membuka mata dunia betapa rejim Israel ini tidak pernah menghormati undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang perairan antarabangsa.

Menurut Mohd. Afandi, ketika kapal Al-Awda ditahan oleh tentera Israel, mereka belayar mengikut laluan yang betul dan tidak tersasar keluar daripada laluan yang telah ditetapkan selamat mengikut undang-undang antarabangsa.

“Mungkin misi kali ini dilihat gagal pada pandangan mata kasar, walhal misi ini adalah satu kemenangan pada pihak kami, sukarelawan daripada 16 negara termasuk Malaysia sebagai pembuka mata kepada dunia bahawa tentera Israel ini akan berulang-ulang kali melanggar apa sahaja peraturan dan undang-undang.

“Perbuatan mereka ini sudah lazim dilakukan dan kali ini, apabila mereka menahan kapal flotila Al-Awda yang membawa ubat-ubatan bernilai RM61,000 dan menahan para sukarelawan di penjara Givon di Israel, terbukti dan terbongkarlah sikap tentera Israel yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Sembang Online yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online di sini, hari ini.

Mohd. Afandi dijemput sebagai tetamu Sembang Online bagi menceritakan pengalaman peribadi beliau ketika menjadi tahanan tentera Israel selama 36 jam di penjara Givon selepas sembilan hari belayar.

Kapal flotila Al-Awda ditahan oleh tiga kapal perang Israel bersama 20 bot tentera itu pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.

Mohd. Afandi berkata, hari ini, apabila bekalan ubat-ubatan itu tidak sampai ke destinasi yang dituju, ia menjadi isu besar, isu dunia, isu antarabangsa kerana pihak tentera Israel kini didesak agar bantuan perubatan itu sampai ke destinasi yang sepatutnya.

“Seperkara yang kita tahu mengenai tentera Israel ini ialah mereka tidak suka didesak. Apabila bantuan ubat-ubatan ini tidak sampai kerana kapal flotila ditahan dan dirampas oleh mereka, dunia mendesak mereka agar tidak menyekat dan menghalang misi bantuan kepada rakyat Palestin,” jelasnya.

Jelasnya, misi Right to A Just Future for Palestine di bawah program #Gauze4Gaza ke Gaza membawa ubat-ubatan yang amat diperlukan seperti mana yang dipesan oleh pasukan perubatan yang bertugas di sana.

“Ubat-ubat yang dibawa antaranya ialah antibotik dan kain kasa atau gauze. Bekalan ini amat kritikal dan itulah yang dipesan untuk dibawa dalam misi kapal flotila Al-Awza.

“Kalau nak diikutkan, jumlah ubat-ubatan yang dibawa tidaklah sebesar mana tetapi misi sebenar ialah untuk memaparkan kepada dunia bahawa tentera Israel ini keterlaluan sikapnya yang tidak pernah mahu menghormati undang-undang antarabangsa.

“Sama ada melalui jalan darat ataupun laut, mereka menyekat dan menghalang apa sahaja bentuk bantuan yang dihulurkan kepada rakyat Palestin kerana itulah sikap sebenar tentera Israel,” tegasnya.

Mohd. Afandi yang terbang pulang ke Terengganu hari ini usai menjayakan segmen Sembang Online berkata, selepas melalui pengalaman ditahan di penjara Israel, beliau mahu pulang ke pangkuan keluarga terutama ibunya dan berehat sebelum memulakan tugas hakikinya sebagai Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (Uniza).

“Sebagai aktivis, saya tidak akan berhenti daripada mengikuti misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh MyCare kerana jika dinilai diri ini, saya adalah individu berisiko tinggi (high risk),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN