KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sukarelawan yang menyertai misi kapal flotila Al-Awda ke Gaza bermula 15 Julai lalu melalui pengalaman getir apabila tentera Israel memperlihatkan kekejamannya dengan mengenakan renjatan elektrik, memukul dan mengikat mereka setelah menawan kapal tersebut.
Video Oleh UTUSAN ONLINE
Bagaimanapun, wakil tunggal negara dalam misi itu, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh bernasib baik apabila terlepas daripada dikenakan tindakan kejam itu kerana ditempatkan di bahagian ‘risiko rendah’ di mana beliau ditugaskan untuk menjaga aktivis-aktivis warga emas yang turut serta dalam misi itu.
Menceritakan saat cemas ketika kapal itu diceroboh, Mohd. Afandi berkata, apabila kapal mereka dikepung 12 kapal perang Israel, termasuk tiga kapal besar dan empat buah kapal peronda lengkap dengan senjata mesingan, kapten kapal mereka sudah memberitahu untuk bersedia dengan segala kemungkinan termasuk untuk ditembak.
“Dan kemudian kira-kira satu jam selepas itu, rampasan berlaku. Pada ketika inilah berlakunya renjatan elektrik, pukul-memukul, teriakkan dan sebagainya, ada juga yang diikat. Keadaan agak cemas ketika itu.
“Ini berlaku apabila sebahagian daripada sukarelawan yang ditempatkan di bahagian ‘risiko tinggi’ kapal mula membuat ‘rantaian manusia’ bagi menyekat kemasukan tentera Israel ke dalam kapal,” katanya ketika sesi Sembang Online di portal Utusan Online hari ini.
Tambah Mohd. Afandi, sepanjang lima jam perjalanan dari tempat kapal dirampas ke darat untuk dipenjarakan, tentera Israel melakukan pelbagai provokasi tetapi tidak berjaya untuk memberi kesan kepada mereka.
“Jadi keganasan tidak berlaku ketika itu kerana kapten kami sudah berpesan untuk menyerah dan tidak melakukan tindakan bodoh yang boleh memburukkan keadaan atau mencederakan sesiapa kerana kami tahu tentera Israel gemar melakukan keganasan.
“Memang benar ketika itu bermacam perkara yang bermain di fikiran kami. Kegelisahan berlaku dan dapat terlihat di wajah masing-masing tetapi saya masih tenang kerana saya ingat pada Allah dan saya berzikir sepanjang perjalanan itu,” katanya.
Meskipun tidak berjaya sampai ke Gaza untuk menyampaikan ubatan yang dibawa, Mohd. Afandi tetap menganggap misi tersebut berjaya.
“Misi ini berjaya membongkar bagaimana realitinya di sana apabila segala jenis bantuan yang ingin disampaikan ke Gaza telah disekat oleh tentera-tentera Israel.
“Jika sebelum ini orang masih berteka-teki, misi kami inilah yang membuktikan kekejaman tentera Israel terhadap misi-misi kemanusiaan adalah benar. Mereka juga jelas melanggar undang-undang dunia apabila merompak dan menceroboh kapal kami yang ketika itu sedang di perairan antarabangsa.
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana apabila kami di perairan antarabangsa, tiada negara yang berhak untuk menahan atau merompak kapal kami tetapi hak kami dinafikan tentera Zionis,” katanya.










