KUALA LUMPUR 3 Ogos – Polis menyerbu sebuah makmal memproses dadah jenis heroin dan merampas dadah serta peralatan bernilai RM65, 800 dengan menahan seorang lelaki di sebuah rumah teres di Taman Idaman Kajang, Kajang dekat sini pada 31 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek berusia 33 tahun dan tidak bekerja itu menjalankan aktiviti memproses dadah di rumah teras dua tingkat tersebut sejak dua tahun serta giat mengedar heroin di sekitar Kajang dalam tempoh sama.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kami menemukan satu peket lutsinar berisi bahan disyaki heroin seberat 2.3 gram dan satu peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.8 gram. “Turut ditemukan di lokasi heroin seberat 780 gram yang berada di atas lapisan surat khabar.
“Selain itu, kami turut merampas peralatan memproses dadah seperti periuk elektrik, periuk tembaga, corong dan bekas plastik dengan anggaran keseluruhan bernilai RM65,800,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, suspek yang positif methamphetamine dan morfin direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu di bawah Seksyen 117 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










