LONDON 3 Ogos – Barcelona bersedia untuk mendapatkan pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal dengan perjanjian 27 juta pound (RM143 juta) selepas mereka mendapat persetujuan awal bersama bintang Chile itu.
Vidal, memiliki banyak pengalaman beraksi di pentas Liga Juara-Juara akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Barcelona selepas Bayern memberi kebenaran kepadanya, lapor akhbar Britain, The Guardian.
Pemain berusia 31 tahun itu bakal menjadi pemain terbaharu berpindah ke Nou Camp pada musim panas ini selepas pemain sayap, Malcom kemudian Arthur dan pertahanan, Clement Lenglet sudah pun menyertai Barca.
Vidal menjalani latihan bersama Bayern semalam dan itu menjadi sesi terakhirnya sebelum menyertai juara Sepanyol.
Barcelona mahu memperkuatkan jentera di bahagian tengah apabila mereka mahu memburu kejuaraan Liga Juara-Juara dan Vidal yang mempunyai banyak pengalaman bersama Chile menjadi calon yang sesuai.
Kehadiran Arthur bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Andres Iniesta di bahagian kiri manakala Paulinho dipinjamkan ke kelab lain dan jika perpindahan Vidal menjadi kenyataan, bermakna bahagian tengah Barca berwajah baharu.
Vidal menyertai Bayern dari Juventus pada 2015 dan dia telah menikmati pelbagai kejuaraan bersama kelab Jerman itu apabila memenangi Bundesliga tiga musim serta DFB-Pokal.
Begitu pun, terdapat banyak cakap-cakap mengenai masa depan Vidal apabila Inter Milan turut dikaitkan mahu mendapatkan pemain tersebut namun Barcelona bakal menjadi destinasi pilihan. – AGENSI











