KUALA LUMPUR 3 Ogos – Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kembali berpeluang untuk melangkah ke peringkat kalah mati dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selepas undian semula acara berkenaan menyaksikan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipindahkan ke dalam Kumpulan C.
Dalam undian semula kali kedua di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini hari ini, UAE yang sebelum ini berada dalam Kumpulan B, di pindahkan ke dalam Kumpulan C bagi menggantikan Iraq selepas pasukan negara bergolak itu menarik diri daripada temasya sukan serantau itu.
Selain UAE, Kumpulan C turut dibarisi China, Timor-Leste dan Syria, manakala jumlah pasukan dalam Kumpulan E kembali kepada empat merangkumi Korea Selatan, Kyrgyzstan, Bahrain dan Malaysia.
Sebelum ini AFC terpaksa melakukan undian semula yang dijalankan pada 25 Julai lepas selepas UAE dan Palestin yang sepatutnya menyertai Sukan Asia 2018 didakwa tercicir daripada sesi undian awal dilakukan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (Inasgoc) di Jakarta pada 5 Julai, walaupun sudah menyerahkan borang penyertaan mereka.
Undian semula itu menyaksikan UAE diletakkan dalam Kumpulan E manakala Palestin dalam Kumpulan A. Undian semula kedua hari ini menyaksikan Palestin kekal dalam Kumpulan A.
Pengarah Pertandingan AFC, Shin Man-gil berkata badan induk bola sepak Asia itu dimaklumkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Inasgoc semalam, sebelum mendapat pengesahan berhubung mekanisme undian hari ini.
“Selepas Iraq menarik diri, terdapat dua kumpulan mempunyai lima pasukan, tiga kumpulan terdiri daripada empat pasukan dan satu kumpulan dengan tiga pasukan. Ini bukan amalan terbaik dari segi ‘fair play’.
“Maka, selepas mendapat permohonan daripada OCA, kita membuat undian dengan membawa satu pasukan antara UAE dan Palestin bagi menggantikan Iraq, dan UAE telah dipilih,” katanya. – BERNAMA










