Tunku Alizakri Alias Ketua Pegawai Eksekutif KWSP baharu - Utusan Malaysia

Tunku Alizakri Alias Ketua Pegawai Eksekutif KWSP baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Alias dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu berkuat kuasa 20 Ogos ini.

Pelantikan tersebut diumumkan lembaga KWSP selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan sekali gus menggantikan tempat Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang bakal berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.

Ujar KWSP dalam satu kenyataan, Alizakri menyertai KWSP pada 1 Januari 2004 dan bertanggungjawab menguruskan polisi perlindungan sosial nasional, dan pembangunan perkhidmatan dan produk KWSP.

“Selain daripada itu, beliau juga bertanggungjawab ke atas strategi korporat, hal ehwal korporat, modal insan dan pembangunan bakat.

“Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia, Iclif Leadership and Governance Centre, DiGi Telecommunications, Maybank dan Sime Darby,” ujar kenyataan itu.

Alizakri memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Cornell University dan Sarjana Muda Undang-Undang dari King’s College, University of London termasuk pernah menjadi peguambela serta peguamcara di Mahkamah Malaya dan diiktiraf sebagai Peguam (Lincoln’s Inn) di mahkamah England dan Wales.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, pihaknya berbesar hati dengan pelantikan dalaman tersebut kerana ia mengesahkan pelan peralihan yang kukuh yang membolehkan Menteri Kewangan memilih calon dalaman yang sesuai.

“Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu ini akan memastikan kesinambungan prestasi KWSP termasuk memberi jaminan kepada ahli bahawa KWSP akan terus beroperasi dengan baik dalam menyampaikan mandatnya dan pemilihan Alizakri mampu terus membantu dalam mengetengahkan agenda kesejahteraan sosial untuk negara.

“Walaupun berat hati, saya berbangga apabila Datuk Shahril dilantik untuk menerajui barisan kepimpinan di Khazanah. Beliau telah membawa KWSP ke tahap kecemerlangan dengan dividen yang kukuh, penambahbaikan ke atas polisi KWSP serta pengalaman pelanggan dan Datuk Shahril adalah antara contoh terbaik dalam aspek dedikasi dan profesionalisme,” katanya.

Mewakili pihak KWSP, Samsudin mengucapkan terima kasih atas khidmat cemerlang Shahril di KWSP.

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas pelantikan beliau dan selamat maju jaya. Saya yakin bahawa Khazanah akan mencapai kecemerlangan di bawah kepimpinan beliau yang telah terbukti menjadikan KWSP sebuah organisasi yang disegani.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN