GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir menyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang berlangsung di Padang Kota Lama di sini pada pukul 9.12 malam tadi.
Kunjungan Dr. Mahathir ke negeri ini adalah yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Turut hadir ialah isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kempen jelajah kibar Jalur Gemilang akan bermula di Pulau Pinang ke Putrajaya dan seterusnya berakhir di Sabah untuk sambutan Hari Malaysia 2018.
Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang tiga hari program berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos ini seperti pertunjukan bunga api, kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pameran Caring Bridge dan MyMerdeka, karnival trak makanan, jualan My Best Buy Fama dan larian merdeka. – K! ONLINE











