LONDON 4 Ogos – Ejen Thibaut Courtois merayu kepada Chelsea agar melepaskan penjaga gol Belgium itu bagi membolehkannya menyertai Real Madrid memandangkan kontraknya hanya berbaki kurang daripada setahun.
Courtois sebelum ini dipinjamkan kepada Atletico Madrid mahu kembali beraksi di Sepanyol berikutan dua anaknya tinggal di negara tersebut. Bagaimanapun, Chelsea enggan berunding dengan Real yang ingin mendapatkan Courtois apabila pemain itu dianggarkan bernilai 40 juta pound (RM 212 juta).
“Saya ada baca daripada pelbagai sumber mengenai apa yang dikatakan oleh Chelsea terhadap Thibaut namun dia sudah memberitahu pilihan terbaik adalah untuknya berpindah ke Real Madrid.
“Baginya ini merupakan keputusan besar kerana dia mahu berada di samping keluarganya dan tawaran yang dibuat patut diterima oleh Chelsea,” kata ejennya, Henrotay.
Difahamkan Real bersedia untuk membayar Courtois lebih daripada 100,000 pound (530,000) seminggu iaitu gaji yang diterimanya ketika ini di Chelsea bagaimanapun Henrotay menegaskan faktor kewangan bukan menjadi keutamaan.
“Kami mendapat tahu perpindahan ini dikaitkan dengan duit dan memang betul harganya boleh meningkat jika dia berpindah namun Courtois menolak tawaran lain kerana bukan duit yang dicarinya.
“Penting untuk semua orang bersikap rasional dan kelab telah membuat tawaran yang berpatutan untuk mendapatkan pemain yang mempunyai baki kontrak selama setahun apabila mereka tahu mereka boleh mendapatkannya tanpa yuran dalam tempoh 12 bulan.
“Saya boleh faham, peminat mungkin kecewa kerana dia mahu meninggalkan kelab dan kita perlu menerimanya namun keputusan ini dilakukan atas faktor kemanusiaan apabila dia mahu berada bersama anak-anak dan kita perlu memikirkannya juga,” kata Henrotay.
Courtois membuat 154 penampilan bersama Chelsea dan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA serta Piala Liga. – AGENSI










