KUALA LUMPUR 11 Ogos – Sebarang usaha untuk membenar dan ‘menghalalkan’ golongan transgender di negara ini wajar ditolak dan dicegah agar gejala songsang itu tidak terus berlarutan sehingga merebak ke dalam masyarakat terutama kepada umat Islam.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, walaupun begitu, golongan tersebut tidak pernah didiskriminasikan malah mereka juga selama ini bebas untuk berada di khalayak ramai juga di tempat-tempat awam.
Menurutnya, umat Islam boleh menerima pandangan bahawa golongan itu tidak harus didiskriminasikan cuma tidak bersetuju sekiranya perbuatan mereka itu dibenarkan atau ‘dihalalkan’ kerana ia memang tidak boleh malah dilarang dalam Islam.
“Tiada diskriminasi terhadap mereka malah pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sering mendekati golongan itu sejak sekian lama bagi memberikan nasihat dan pengajaran termasuk hukum-hukum selain berkaitan ibadat mereka.
“Ramai kembali pulih dan menjadi lelaki semula walaupun masih berkelakuan lembut, namun begitu masih ada dalam kalangan mereka yang sering kali didapati merendah diri dan segan, itu sahaja,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta orang ramai tidak mendiskriminasi golongan transgender di tempat kerja dan awam bagi mengelakkan lebih banyak kesan negatif diterima oleh golongan tersebut.
Katanya, label-label negatif yang dilemparkan terhadap golongan tersebut menyebabkan mereka berasa tersisih daripada masyarakat dan mula terlibat dalam perkara negatif dan dibimbangi kesan lebih buruk akan berlaku seperti statistik yang menunjukkan 80 peratus golongan transgender terlibat sebagai pekerja seks,
Tambah Mohd. Yusof, maksud diskriminasi dalam konteks golongan transgender adalah seperti membiarkan serta memandang jijik golongan tersebut namun perkara itu tidak berlaku dalam masyarakat.
“Sehubungan itu, maksud sebenar diskriminasi oleh Mujahid itu tidak begitu jelas kerana pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengajak golongan ini untuk bersama masyarakat dan kembali ke jalan agama cuma seruan dan ajakan itu ada yang terima ada juga yang tidak mahu menerima,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, golongan transgender perlu terus diberikan nasihat tetapi dengan cara bijaksana agar mereka tidak terus melakukan perkara mungkar dan perbuatan mereka itu dapat dibendung.
“Kita tidak setuju dengan gerakan kini yang dilihat seolah-olah mahu menghalalkan perbuatan mereka itu. Jika orang melakukan kemungkaran adakah wajar untuk kita membiarkan perbuatan tersebut? Itu tidak boleh, kemungkaran tetap kemungkaran.
“Kita bukan mendiskriminasi golongan itu cuma apabila kita melihat sesuatu yang tidak baik dilakukan, kita mencegah mereka, pencegahan itu bukan satu bentuk diskriminasi,” katanya.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, transgender itu bertentangan dengan syarak dan agama jadi sudah tentu tidak wajar perbuatan itu diiktiraf.
“Jika seseorang itu berpakaian seperti seorang wanita pun sudah berdosa apatah lagi sebagai seorang transgender. Namun begitu, kita harus mendekati golongan ini dan menyedarkan bahawa mereka sebenarnya adalah seorang lelaki dan jika kita terus melayan mereka seperti seorang perempuan, perkara ini akan terus berlarutan.
“Golongan ini pernah berhujah kepada saya bahawa mereka sebenarnya seorang perempuan yang terperangkap di dalam badan seorang lelaki, namun begitu bagi saya itu hanyalah perasaan mereka sahaja dan mungkin mereka terikut-terikut atau terpengaruh dengan persekitaran termasuk dalam keluarga yang melayan mereka seperti seorang perempuan,” katanya.











