KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam melepas dan membebaskan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, 62, dan anggota Sekretariat Bersih, Mandeep Singh atas pertuduhan menyertai protes jalanan dalam perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, tiga tahun lalu.
Majistret Maizatul Munirah Abd. Rahman memutuskan demikian terhadap Tze Tzin, 42, Maria dan Mandeep selepas pihak pendakwaan memberitahu representasi yang dihantar pihak pembelaan ke Jabatan Peguam Negara telah diterima.
Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadap mereka selaku orang kena saman (OKS) itu.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya didakwa bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas menyertai protes itu dengan tujuan tertentu iaitu reformasi dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).










