Tidak perlu ubah wakil rakyat kepada parti lain - Utusan Malaysia

Tidak perlu ubah wakil rakyat kepada parti lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis disarankan agar tidak menukar wakil rakyat mereka kepada parti lain.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesej itu jelas apabila mahu pengundi mengekalkan kerusi itu di bawah PKR yang dimenangi sejak tahun 2008. 

Katanya, keadaan itu didorong apabila kerajaan Persekutuan dan negeri kini dibawah Pakatan Harapan (PH).

“Kita susah mendapatkan kerajaan Persekutuan dan mengekalkan kerajaan negeri. Justeru, buat apa hendak bagi kat mereka (BN menang Pilihan Raya Kecil).

“Dalam PRK DUN Sungai Kandis esok, kita ada calon yang sentiasa terus dengan perjuangan rakyat. Calon sebelah sana (Barisan Nasional) dia tidak kekal, patah-patahkan perjuangan (semasa berada dalam PKR sebelum ini),” katanya ketika berucap pada ceramah ‘Grand Finale’ sempena PRK DUN Sungai Kandis di Taman Sri Andalas sebentar tadi.

Beliau yang merupakan Timbalan Perdana Menteri memberitahu peletakan Mohd. Zawawi sebagai calon adalah tepat apabila 70 peratus pengundi di DUN ini adalah beragama Islam.

Ujarnya, beliau mengenali Mohd. Zawawi yang mempunyai rekod pencapaian baik untuk menjadi wakil rakyat DUN ini.

“Justeru keluar mengundi awal dan terus istiqamah dengan memberikan Mohd. Zawawi memegang amanah sebagai wakil rakyat dalam memberikan khidmat terbaik kepada semua masyarakat di DUN ini,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin menyangkal dakwaan kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenepikan pembangunan Islam dan orang Melayu dalam mentadbir negara serta negeri. 

Sebaliknya, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menegaskan pembelaan terhadap Islam dan orang Melayu telah ditunjukkan sendiri dalam pentadbiran Selangor semasa pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar sebelum diterajui oleh Amirudin Shari ketika ini. 

“Walaupun ada suara kononnya kita (PH) lupa Melayu, lupa pembangunan Islam, sekat pembangunan masjid dan surau tetapi kalau kita lihat rekod kerja kita mentadbir Selangor amat baik dalam soal itu. 

“Bukan sahaja orang Melayu, kita peduli orang Cina, India kita angkat martabat dan kebajikan mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN