Terpaksa pakai jaket kalis tikaman - Utusan Malaysia

Terpaksa pakai jaket kalis tikaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OXFORDSHIRE 2 Ogos – Seorang pemandu bas di sini terpaksa memakai jaket kalis tikaman kerana bimbang menjadi mangsa serangan seorang wanita yang merupakan peminat fanatiknya.

Imre Marton mengenali pe­mi­natnya, Charlie Howells yang sering menaiki bas dipandunya dan menyedari wanita itu sanggup duduk dalam bas berkenaan selama beberapa jam.

Selepas beberapa bulan ber­keadaan sedemikian Howells te­­lah meluahkan perasaannya kepada Marton namun ditolak secara baik dengan alasan telah mempunyai kekasih.

Namun Marton tidak me­nyangka penolakannya menye­bab­kan wanita itu menangis seperti ‘seorang kanak-kanak yang tidak dapat gula-gula’, lapor portal Oddity Central.

Bermula daripada ke­jadian itu, tindakan Howells semakin me­na­kutkan dan sering menghendap malah menghafal jadual kerja selain mengekori Marton.

“Di mana-mana sahaja saya pergi, dia (Howells) ada. Dia hanya beberapa langkah di belakang saya. Ini menakutkan saya,” katanya.

Walaupun laluan bas yang dipandu lelaki itu telah ditukar, Howells masih boleh menjeja­ki­nya dan mengetahui alamat rumah­nya menyebabkan hubungan dia de­ngan kekasihnya terputus.

Wanita itu pernah muncul di depan pintu rumahnya dan mengugut akan menyembelihnya menyebabkan Marton terpaksa membeli jaket tersebut.

Kata lelaki itu, ma­sa­lah yang dihadapinya sering dipandang remeh oleh orang ramai malah pihak polis menyifatkannya bukan kes jenayah.

Tindakan Howells semakin menjadi-jadi setelah menerima amaran polis yang menghalang­nya mendekati Marton.

Setelah Marton berjaya me­nyakinkan pihak berkuasa, wa­nita berkenaan dihukum penjara selama tiga tahun kerana melanggar arahan tersebut namun hidup lelaki itu masih tidak tenteram.

Kehidupan di penjara memberi Howells banyak masa untuk merancang langkah seterusnya dan selepas mengetahui Marton memakai jaket berkenaan wani­ta itu telah menghantar mesej kepadanya.

Howells menulis: “Sekarang saya tahu bahagian tubuh mana anda yang akan saya tikam. Kamu fikir sebelum ini hidup kamu dalam bahaya tetapi sekarang lebih ramai orang yang mencari kamu. Saya akan lebih berhati-hati jika menjadi kamu, kamu telah diberi amaran!”

Kata Marton, dia tidak pernah merasa selamat kerana menge­tahui wanita itu tidak akan berhenti mengekorinya.

“Saya hidup dalam ketakutan dan sentiasa melihat ke belakang malah saya yakin satu hari nanti dia akan membunuh saya kerana itu matlamat hidup dia, untuk mati bersama-sama,” katanya.

Menurut lelaki itu, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kehidupan peribadinya tidak keruan malah dia hampir muf­lis kerana sepanjang kejadian dia kerugian 10,000 pound (RM53,251) setiap tahun kerana bertukar-tukar kerja dan mengelak kerja lebih masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN