KUALA TERENGGANU 3 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Terengganu) menyandarkan harapan kepada enam daripada kesemua 10 acara yang dipertandingkan dalam Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2018 di Melaka bermula hari ini hingga Rabu ini.
Kontinjen yang disertai 82 atlet itu turut meletakkan sasaran pungutan 10 pingat emas dalam temasya yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem).
Ketua kontinjen, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abnihajar berkata, enam acara yang dijadikan sandaran itu ialah badminton, boling, pingpong, olahraga, dart & karom serta Mr. Wonderful.
“Kita telah buat persediaan rapi dan selesai mengadakan latihan pusat selama 10 hari sebelum berlepas ke Melaka,” katanya hari ini.
Menurutnya, majlis penyerahan bendera kontinjen berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat JBPM Terengganu di sini semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JBPM negeri, Sharikan Bustaman.
Rozizah yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berpuas hati dengan komitmen serta persiapan kesemua 82 atlet kontinjen Terengganu untuk membawa pulang lebih banyak emas.
Tambahnya, kejohanan dwi tahunan itu mempertandingkan sebanyak 10 acara termasuk golf, tenis, renang dan buskers.-UTUSAN ONLINE










