KUALA TERENGGANU 2 Ogos – Golden Pharos Berhad mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang dilantik sebagai pengerusi yang baharu semalam.
![]() |
|
Tengku Hassan Tengku Omar
|
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nadza Abdul yakin Tengku Hassan bersama ahli-ahli lembaga pengarah yang sebahagian besar juga baharu dilantik yang berpengalaman luas akan membantu melonjak prestasi syarikat itu yang terbabit dalam industri perkayuan secara bersepadu.
Pelantikan Tengku Hassan yang diumumkan dalam kenyataan Bursa Malaysia semalam adalah bagi menggantikan Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Julai 2016.
“Seramai enam orang ahli lembaga pengarah baharu telah dilantik berkuat kuasa mulai semalam
bagi menggantikan mereka yang meletakkan jawatan pada tarikh yang sama.
“Syarikat mengalu-alukan lantikan baharu ini dan mengharapkan agar mereka dapat membawa syarikat ke arah hala tuju yang lebih baik dan berdaya saing, sesuai dengan kedudukan syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Kenyataan dalam Bursa Malaysia semalam turut mengumumkan bahawa hanya seorang sahaja ahli lembaga pengarah lama yang dikekalkan iaitu Datuk A Rahman Yahya yang juga Setiausaha Kerajaan negeri.
Nadza berkata, enam lagi ahli lembaga pengarah yang baharu terdiri daripada golongan professional dan mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan urusan balak dan kayu-kayan dalam negeri serta negara.
“Saya turut mengharapkan agar hala tuju syarikat dapat dipandu oleh pengalaman Tengku Hasan yang luas dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah beliau, rombakan ahli lembaga pengarah syarikat ini juga merupakan salah satu daripada proses penstrukturan semula, selari dengan polisi kerajaan negeri yang baharu.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Muhammad Pehimi Yusof serta ahli lembaga pengarah yang lain di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memajukan syarikat.-UTUSAN ONLINE











