Sungai Kepar tercemar, 100 penduduk desak pihak berkuasa ambil tindakan - Utusan Malaysia

Sungai Kepar tercemar, 100 penduduk desak pihak berkuasa ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR – Kira-kira 100 penduduk daripada Kampung Sahom di sini hari ini berkumpul bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap aktiviti pelombongan haram yang dijalankan di ladang kelapa sawit di kampung tersebut yang telah menyebabkan pencemaran air di Sungai Kepar.

Ketua Kampungnya, Mohd. Lot Abdul Hamid berkata, para penduduk bimbang sekiranya aktiviti haram tersebut tidak dihentikan, sisa galian daripada aktiviti perlombongan itu boleh mengganggu ekosistem sungai dan menjejaskan kesihatan orang kampung. 

“Kebelakangan ini, penduduk sering melihat air Sungai Kepar tercemar dan kami bersepakat untuk mencari punca pencemaran tersebut.

“Pada awalnya kami hanya menyangka air yang keruh di sungai tersebut merupakan perkara biasa selepas hujan turun namun apa yang berlaku air sungai tetap keruh pada musim panas,” katanya kepada pemberita di tapak lokasi pelombongan itu di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak, Sajeeda Muhammad dan Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman. 

Jelas Mohd. Lot, hasil pemerhatian daripada penduduk kampung, mereka menemui punca pencemaran air sungai tersebut bermula daripada air kotor dari kolam takungan operasi pelombongan tersebut. 

Katanya, apa yang lebih dahsyat lagi apabila pihak pelombong turut membuat panggilan telefon kepadanya pada pukul 10 malam tadi dan mengugut supaya tidak lagi memasuki kawasan persendirian tersebut pada masa akan datang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN