Suara mirip Anwar 
kritik Dr. M, Azmin tular - Utusan Malaysia

Suara mirip Anwar 
kritik Dr. M, Azmin tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini, rakaman suara mirip Ke­tua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Presi­den PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

ANWAR IBRAHIM

Menerusi tiga rakaman suara yang berdurasi lapan dan sembi­lan saat itu, turut didengari pengakuan untuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertanding menentang Mohamed Azmin untuk jawatan Timbalan Presi­den PKR dalam pemilihan parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu saya suruh Rafizi lawan Azmin, sebab Azmin dah jadi barua kepada Mahathir, pa­sal apa?

“Dia (Mahathir) lantik diri dia jadi Pengerusi Khazanah, apa ni? Rakyat rugi, MAS rugi, Kha­zanah rugi. Dulu dia tuduh saya liwat, dia jangan lupa apa jadi dengan kes forex dia, RM30 bilion,” menurut rakaman suara tersebut.

Rafizi baru-baru ini mengesahkan akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pa­da pemilihan PKR bulan ini.

Baru-baru ini juga, Jabatan Per­dana Menteri menamakan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Nasional Berhad (Khazanah) sementara Mohamed Azmin, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, Dr. Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin sebagai pengarah.

Walau bagaimanapun, Penga­rah Komunikasi PKR, Fahmi Fad­­zil menafikan rakaman ter­se­but sebagai suara Anwar dan menyifatkannya sebagai usaha menyemai syak wasangka da­lam kalangan ahli parti.

“Saya sudah meneliti rakaman tersebut dan dapati ada ele­men-elemen yang mencu­ri­­gakan seperti cara menyebut perkataan yang lain daripada cara sebutan biasa Anwar. Ini menunjukkan ia bahan palsu yang dijaja dan disebar untuk me­rosakkan ukhuwah dan menyemai syak wasangka dalam kalangan ahli-ahli PKR,” jelas beliau.

Menurut Fahmi, semakin hampir dengan pemilihan parti, maka sudah pasti lebih banyak bahan palsu yang akan disebar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×