Splash milik Air Selangor - Utusan Malaysia

Splash milik Air Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Isu penstrukturan semula industri air di Selangor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu dimuktamadkan dengan termeterainya penyerahan surat tawaran pengambilalihan antara Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) membabitkan nilai sebanyak RM2.55 bilion.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, penstrukturan semula air di negeri itu sebelum ini tertangguh akibat tiada persefahaman dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Dengan pengambilalihan ini, nilai yang ditawarkan berjumlah RM2.55 bilion iaitu bersamaan dengan diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun lalu iaitu sebanyak RM3.54 bilion.

“Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dan baki pertimbangan sebanyak RM650 juta akan dibayar melalui bayaran ansuran tahunan bagi tempoh selama sembilan tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyampaian surat tawaran pengambilalihan tersebut di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya di sini sebentar tadi.

Pada majlis tersebut, surat tawaran pengambilalihan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengerusi SPLASH, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Amirudin berkata, tawaran oleh Air Selangor untuk mengambilalih SPLASH pada nilai RM2.55 bilion itu telah dicapai setelah rundingan selama hampir setahun.

“Bagaimanapun, tawaran itu masih memerlukan pengesahan daripada ahli lembaga pengarah dan pemegang saham SPLASH dalam tempoh sebulan setengah.

“Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri dan ia juga akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung oleh anak syarikat Air Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kepada SPLASH untuk pembelian air terawat yang telah mencecah sebanyak RM4.7 bilion setakat 30 Jun lalu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Air Selangor akan mengambilalih semua syarikat konsesi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang awal tahun depan.

Katanya, buat masa ini, pengambilalihan itu tidak akan memberi kesan kepada kenaikan tarif air di Selangor. “Sebarang kenaikan tarif akan ditentukan kerajaan negeri dan kadar tersebut tidak membebankan rakyat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN