SHAH ALAM – Proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) yang sudah 10 tahun tertangguh selesai semalam apabila syarikat konsesi itu bersetuju menerima nilai tawaran pengambilalihan oleh Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) membabitkan nilai RM2.55 bilion.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, nilai tawaran berjumlah RM2.55 bilion untuk mengambil alih Splash tersebut dicapai berikutan rundingan hampir setahun yang berlangsung antara pihak Air Selangor dan Splash Holdings.
“Pengambilalihan tersebut tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan daripada dana kerajaan Negeri Selangor dan telah distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.
“Ini membolehkan Air Selangor beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi yang munasabah, sekali gus memastikan kadar tarif air yang tidak membebankan rakyat,” kata beliau pada sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya dekat sini semalam.










