KETIADAAN dua acara iaitu jianshu (pedang) dan qiangshu (lembing) dalam saingan wusyu pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia memberi tamparan hebat kepada skuad negara apabila terpaksa meletakkan sasaran lebih rendah satu perak dan dua gangsa.
Malaysia berpotensi untuk meraih pingat emas dalam kedua-dua disiplin berkenaan, namun tuan rumah Indonesia tidak mempertandingkan acara tersebut, sekali gus memberi kerugian kepada kontinjen negara.
Juara wusyu dunia, Wong Weng Son antara prospek emas negara ke Sukan Asia selepas muncul juara acara jianshu (pedang) lelaki pada Kejohanan Wusyu Dunia di Kazan, Rusia tahun lalu.
Seorang lagi atlet terbaik negara, jaguh dunia 2015, Loh Jack Chang antara sandaran utama negara pada saingan nanti, namun akan mengambil bahagian dalam disiplin gabung iaitu taijiquan dan taijijian di Indonesia.
Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada anak-anak buahnya untuk memburu pingat emas walaupun sedar tugas mereka di Indonesia bukan mudah.
“Kita akui cabaran pada Sukan Asia bukan mudah kerana terdapat ramai jaguh-jaguh dunia bersaing pada edisi kali ini. Namun, saya akui peluang kita untuk meraih pingat itu tetap ada dan atlet perlu lakukan yang terbaik.
“Mereka semua telah melakukan persediaan terbaik dan menjalani latihan pusat di China, Jepun dan Macau. Sudah pasti mereka akan membawa pulang sekurang-kurangnya pingat.
Pada saingan itu, wusyu menghantar tujuh atlet terbaik mereka diketuai jaguh utama, Weng Son, Yeap Wai Kin, Calvin Lee Wai Leong dan Loh Jack Chang yang turut berada dalam Program Podium.
Bagi wanita pula, Malaysia akan mempertaruhkan pemenang pingat Sukan SEA Myanmar 2013, Phoon Eyin, Audrey Chan dan Tan Cheong Min.











