KUALA LUMPUR 11 Ogos – Pertubuhan Kebajikan Wilayahku Ceria menubuhkan Skuad #LembahPantaiDiHatiku dengan hasrat membina masyarakat Lembah Pantai yang lebih baik menerusi institusi persekolahan.
Pelancaran skuad itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam Majlis Ramah Mesra Kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Lembah Pantai di Pantai Eco Park, di sini semalam.
Sebanyak lima kepimpinan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), lima PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) dan dua PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Parlimen Lembah Pantai hadir dalam majlis tersebut.
Ahmad Fahmi ketika berucap berkata, ini adalah masanya untuk bekerja bagi membina Lembah Pantai yang lebih baik dan mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memilih institusi persekolahan sebagai teras program.
“Skuad ini akan menjalankan beberapa siri program di sekolah antaranya menaja penceramah untuk program motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan, menaja kumpulan pelajar terpilih untuk kem motivasi dan menaja cenderahati sebagai pendorong menghadapi peperiksaan.
“Selain itu, mereka juga bercadang mengadakan Program Seminar Menara Gading iaitu pendedahan peluang-peluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta serta Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya. – UTUSAN ONLINE











