DRAMA pergolakan dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semakin menarik apabila Setiausaha Agung, Husin Deraman mengambil langkah drastik meninggalkan badan induk bola sepak negeri itu berkuat kuasa semalam.
Tindakan Husin itu menyaksikan krisis dalaman KAFA makin parah selepas dua naib presiden, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim serta bendahari, Datuk Ahmad Razali Ibrahim meninggalkan persatuan berkenaan beberapa hari lalu.
Husin berkata, keputusan berundur daripada jawatan itu dibuat selepas beliau merasakan sudah tidak mampu lagi menggalas tugas tersebut sepenuh masa seperti dikehendaki Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.
“Tugas sebagai penjawat awam membataskan saya untuk menjalankan kerja-kerja sebagai Setiausaha Agung KAFA secara sepenuh masa.
“Saya hanya mampu melaksanakan tugas sebagai pengurusan sekretariat dan pentadbiran. Namun, KAFA memerlukan individu yang mampu membawa masuk dana bagi membantu mengukuhkan kewangan badan itu,” katanya.
Tambah Husin, beliau mengakui sudah tidak mampu untuk berbuat demikian dan mahu KAFA mencari segera pengganti yang lebih berkaliber.
Katanya, surat peletakan jawatan Setiausaha Agung KAFA itu sudah dihantar ke pejabat badan induk berkenaan pagi tadi menerusi faksimili.
Jelasnya, salinan surat itu juga turut dihantar kepada Bibi Ramjani dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah menerusi aplikasi WhatsApp.
Kosmo! kelmarin melaporkan, tindak-tanduk Bibi Ramjani yang menguruskan badan induk itu secara bersendirian dan menuduh barisan Exco sebagai ‘musuh dalam selimut’ menjadi punca Mohd. Aizuddin bertindak melepaskan jawatan sebagai naib presiden termasuk Nik Izani.
Sementara itu, Bibi Ramjani ketika dihubungi mengesahkan telah menerima peletakan jawatan Husin.
Katanya, beliau sudah melantik Farah Anida Mansor sebagai Setiausaha Agung KAFA yang baharu.
“Saya menaruh kepercayaan penuh kepada Farah Anida untuk melaksanakan tugas sebagai Setiausaha Agung. Dia sudah berkhidmat dengan saya sejak sebulan lalu sebagai pembantu peribadi,” katanya.











