Selangor menangis di laman keramat - Utusan Malaysia

Selangor menangis di laman keramat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Stadium Shah Alam menyambut kepulangan juara 33 kali, Selangor dengan ‘kesedihan’ apabila dibelasah 0-3 oleh pasukan berstatus kelab, PKNP FC dalam aksi pembukaan Piala Malaysia Kumpulan D, sebentar tadi.


Lebih perit, sekalipun PKNP bermain 10 orang selepas pertahanan Azraei Omar dibuang padang pada minit ke-78, namun skuad Red Giants masih gagal mencuri sebarang gol.


Kesemua jaringan PKNP masing-masing disempurnakan oleh ketua pasukan, Hafiz Ramdan pada minit ke-23, diikuti Fandi Ahmad (minit ke-32) dan Ritus Krjauklis pada minit ke-62.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan D, Pahang gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan Liga Perdana, Sabah di Stadium Darul Makmur.


Anak buah Dollah Salleh terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-46 sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir menerusi jaringan Austin Amutu.

Belum pun sampai seminit separuh masa kedua berlansung, Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemainnya import skuad itu, Hector Ramos.

Sementara itu, saingan Kumpulan A menyaksikan Kuala Lumpur dibelasah Terengganu 1-5 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, manakala satu lagi perlawanan kelompok tersebut melibatkan Perak serta Felcra di Stadium Perak sekadar seri tanpa jaringan.

Perak, yang dibimbing Mehmet Durakovic gagal membocori gawang lawan biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan apabila mempersia-siakan beberapa peluang gol yang diperoleh.

Asakan pasukan tuan rumah bermula sejak awal permainan lagi dan hampir menjaringkan gol menerusi percubaan Gilmar namun tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Felcara FC, Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Perak terus menguasai babak kedua permainan namun gagal mencari gol sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN