MALAM ini, sejarah baharu bakal tercatat di Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang. Puluhan ribu orang dijangka memenuhi padang itu bagi menyambut pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 bertemakan Sayangi Malaysiaku. Ibarat sebuah pesta, sambutan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sesuai dengan setiap lapisan masyarakat.
Kemuncaknya adalah perasmian sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijangka 9 malam esok.
Sebab itu adalah satu kerugian besar kepada penduduk Pulau Pinang untuk tidak turut sama memeriahkan program tersebut yang pastinya akan terakam sebagai antara peristiwa penting dalam sejarah sambutan kemerdekaan negara.
Pemilihan Padang Kota Lama sebagai lokasi utama pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 itu juga mempunyai makna dan pengertian dari sudut sejarah yang tersendiri.
Padang itu dibina sebagai lokasi riadah golongan bangsawan British ketika era penjajahan yang mana Malaysia mendapat kemerdekaan daripada negara tersebut. Padang itu juga menjadi salah satu lokasi di mana bendera Union Jack diturunkan sehari sebelum pengisytiharan kemerdekaan iaitu pada 30 Ogos 1957 sekali gus menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu.
Begitu pun sejarah Padang Kota Lama bermula lebih awal iaitu ketika terbinanya kubu pertahanan British, Fort Cornwallis yang dibangunkan oleh British East India Company pada 1786.
Kedua-dua lokasi ini jika merujuk kepada sejarah awal sering dikaitkan sebagai simbolik kepada Georgetown sebagai Kota Keamanan sekali gus menjadikan sambutan 62 tahun kemerdekaan negara di Padang Kota Lama tahun ini lebih bersejarah.
Sesiapa pun tidak boleh menafikan keamanan yang dikecapi sepanjang 62 tahun usia kemerdekaan negara merupakan nadi utama yang membentuk Malaysia seperti hari ini. Bagi sebuah negara dengan latar belakang kaum dan agama yang berbeza, tanggungjawab menjaga keamanan itu bukan sesuatu yang mudah.
Jalur perpecahan dan pergeseran antara kaum itu terlalu rapuh dan sejarah juga telah membuktikan bagaimana perbezaan tersebut boleh mencetus kepada kekacauan seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Peristiwa itu adalah sejarah hitam yang tidak sepatutnya dikenang apatah lagi dibiarkan berulang. Namun, apa yang dikesalkan terdapat sesetengah pihak hari ini yang seolah-olah tidak mengambil pengajaran dan dengan sengaja menyentuh isu-isu sensitif yang boleh mengancam keamanan.
Pihak ini dengan berani mempertikai sesuatu yang di luar daripada Perlembagaan Persekutuan iaitu tiang seri yang membolehkan negara mengecapi kemerdekaan 62 tahun lalu. Turut dikesalkan apabila ada yang sanggup mengiktiraf perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) ketika mangsa kepada kekejaman puak itu masih lagi bernafas dan menanggung keperitan berpanjangan.
Pertikaian sebegini adalah penghinaan kepada sejarah kemerdekaan negara dan adalah jelas pihak yang membangkitkan perkara tersebut sangat jauh dengan jati diri sebenar sebagai rakyat Malaysia.
Maka, adalah amat bertepatan apabila Kerajaan Persekutuan memilih tema Sayangi Malaysiaku sebagai slogan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini. Ini kerana hanya rakyat yang mempunyai jiwa dan perasaan sayang kepada negara sahaja yang benar-benar memahami erti kemerdekaan serta menghargai keamanan yang sedang dikecapi negara ketika ini.
Jiwa dan perasaan menyayangi negara itu juga akan menjadi perisai kepada rakyat Malaysia sebenar untuk tidak sesekali melakukan perkara atau membuat kenyataan yang diketahui boleh merosakkan perpaduan antara kaum.










