PUTRAJAYA 31 Julai – Keputusan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) adalah bagi mengambil tanggungjawab terhadap penemuan-penemuan Laporan Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
![]() |
|
AZHARUDDIN ABDUL RAHMAN
|
Menurut beliau, walaupun laporan berkenaan tidak mencadangkan insiden berkenaan berpunca daripada Jabatan Penerbangan Awam (nama lama bagi CAAM) namun terdapat beberapa penemuan jelas berkaitan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) yang mana dinyatakan pengawal trafik udara tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
“Maka, dengan rasa kesal dan selepas berfikir panjang, saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi CAAM berkuatkuasa 14 hari dari tarikh surat peletakan jawatan yang saya hantar hari ini.
“Sepanjang empat tahun lalu, saya telah mencuba yang terbaik untuk membantu dalam pencarian MH370 dan saya sentiasa tegas dalam mencari jawapan terhadap tragedi malang ini yang kita berhutang kepada keluarga mangsa dan orang tersayang. Saya sedih (dan) terpaksa meninggalkan (CAAM) di bawah keadaan ini.
“Berkhidmat dalam industri untuk lebih 40 tahun telah menjadi penghormatan besar dalam hidup saya dan saya meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi tempoh selebihnya perkhidmatan saya. Penerbangan merupakan teras dalam hidup saya sejak kecil dan akan kekal sepanjang hayat saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.











