Sah langgar sekatan – PBB - Utusan Malaysia

Sah langgar sekatan – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 4 Ogos – Korea Utara tidak menghentikan program pembangunan nuklear dan peluru berpandu yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), demikian menurut laporan sulit PBB yang ditunjukkan kepada agensi be­rita Reuters semalam.

Laporan enam bulan itu disediakan oleh pakar-pakar bebas yang memantau pelaksanaan sekatan PBB, diserahkan kepada Jawatankuasa Sekatan Majlis Ke­selamatan Korea Utara semalam.

“(Korea Utara) tidak menghentikan program pembangunan nuklear dan peluru berpandu dan secara berterusan melanggar resolusi Majlis Ke­selamatan melalui peningkatan secara besar-besaran pemindahan haram minyak mentah antara kapal-ke-kapal dan juga pemindahan arang batu di laut pada 2018,” jelas laporan setebal 149 halaman itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Duta Korea Utara ke PBB tidak memberikan maklum balas ketika diminta untuk memberikan ulasan terhadap laporan itu.

Laporan PBB berkata, Korea Utara mengadakan kerjasama ketenteraan dengan Syria dan telah cuba menjual senjatanya kepada pemberontak Houthi di Yemen.

Pyongyang juga melanggar larangan tekstil dengan mengeks­port lebih daripada AS$100 juta (RM407 juta) barangan kepada China, Ghana, India, Mexico, Sri Lanka, Thailand, Turki dan Uruguay antara Oktober 2017 dan Mac lalu.

Laporan itu dikeluarkan ketika Rusia dan China mencadang kan kepada Majlis Keselamatan supaya melonggarkan sekatan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dan pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong Un bertemu pada Jun lalu di mana Jong-un sendiri berjanji untuk melucutkan senjata nuklearnya.

AS dan anggota majlis yang lain menyatakan perlu ada penguatkuasaan sekatan yang ketat sehinggalah Pyongyang bertindak untuk mematuhinya.

Dalam perkembangan lain, Wall Street Journal melaporkan, Rusia dilihat melanggar sekatan PBB apabila membenarkan beribu-ribu buruh Korea Utara masuk ke negaranya dan memberikan permit kerja baharu kepada mereka.

Lebih 10,000 pekerja Korea Utara mendaftar di Rusia sejak September, kata laporan itu memetik rekod dari Kementerian Dalam Negeri Rusia.

Rekod Kementerian Tenaga Kerja itu menunjukkan sekurang-kurangnya 700 permit kerja baharu dikeluarkan kepada rakyat Korea Utara di Rusia tahun ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×