KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengesahkan bahawa beliau telah ditawarkan untuk menggalas jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.
Perkara itu, katanya telah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Khamis lepas di Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenainya akan diputuskan paling awal Selasa ini, selepas usul cadangan berkenaan dibentang di Dewan Rakyat.
“Memang dalam ‘Order Paper’ yang dikeluarkan Parlimen bahawa antaranya untuk mencadangkan nama bagi jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC. Kalau ikutkan, usul ini akan dibentang sebaik penggulungan usul titah Yang di-Pertuan Agong selesai,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada Isnin ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mencadangkan Kiandee sebagai Pengerusi PAC manakala Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai Timbalan Pengerusi jawatankuasa tersebut. – Bernama










